BELUM pun Liga Malaysia musim baharu membuka tirai Ogos ini, Kuala Lumpur City FC sudah bergelut dengan isu asas yang sepatutnya tidak berlaku buat pasukan profesional, ketiadaan padang latihan.
Ketua Jurulatih KL City, Risto Vidakovic tidak menyembunyikan rasa kecewa apabila pasukannya terpaksa berpindah-randah semata-mata untuk menjalani sesi latihan harian kerana keadaan padang yang buruk dan tidak sesuai digunakan.
“Padang itu sebenarnya tidak sesuai langsung untuk latihan. Kami terpaksa cari padang lain untuk berlatih setiap hari, atau setidaknya satu padang yang elok bagi persiapan.
“Kalau padang teruk, bola akan melantun-lantun dan pemain pun tak boleh hantaran dengan betul. Anda perlukan padang yang baik untuk membina sesuatu,” katanya.
Isu ini sekali lagi mencerminkan kegagalan dalam aspek asas pengurusan kelab, lebih-lebih lagi apabila KL City memiliki pemain berstatus profesional namun tidak disokong dengan kemudahan setimpal.
Dengan Liga Malaysia bakal bermula bulan depan, kegagalan menyediakan padang latihan berkualiti jelas menimbulkan persoalan – bagaimana lesen kelab profesional boleh diluluskan jika keperluan seperti padang latihan masih gagal dipenuhi?
Lebih malang, perkara sebegini bukan kali pertama timbul dalam bola sepak tempatan, sekali gus mencerminkan betapa masih banyak perlu diperbaiki jika mahu menyaksikan kemajuan sebenar dalam ekosistem bola sepak profesional negara.