Kredit Gambar: OLI SCARFF/AFP
Datuk Azizulhasni Awang menambah satu lagi pencapaian dalam kariernya di pentas Sukan Asia apabila meraih pingat gangsa acara pecut individu lelaki pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.
Pengalaman luas dimiliki pelumba berusia 38 tahun itu memainkan peranan penting apabila dia menewaskan wakil Thailand, Jai Angsuthasawit, 2-0 dalam perlumbaan penentuan tempat ketiga di Velodrom Izu, Shizuoka.
Kejayaan itu hadir selepas Azizulhasni gagal melangkah ke final apabila tewas 0-2 kepada pelumba China, Li Zhiwei dalam aksi separuh akhir.
Sebelum itu, The Pocket Rocketman terlebih dahulu menewaskan pelumba Jepun, Konata Takahashi 2-0 pada suku akhir untuk mengesahkan tempat dalam kelompok empat terbaik.
Azizulhasni turut menunjukkan prestasi konsisten sejak peringkat kelayakan apabila mencatat masa ketiga terpantas iaitu 9.467 saat, hanya di belakang pelumba Jepun, Kaiya Ota dan Zhiwei.
Pingat gangsa itu menjadi koleksi pingat kelima Azizulhasni sepanjang penampilannya di Sukan Asia.
Sementara itu, Ota menamatkan saingan dengan emas selepas menewaskan Zhiwei 2-0 dalam perlumbaan final.
Tumpuan Azizulhasni selepas ini akan beralih kepada acara keirin lelaki yang dijadualkan berlangsung esok, dengan beliau akan bergandingan bersama rakan sepasukan, Shah Firdaus Sahrom.
Dalam acara pecut individu wanita pula, Nurul Izzah Izzati Asri dan Nur Alyssa Farid masing-masing mara ke suku akhir yang turut berlangsung esok. Izzah menewaskan wakil Hong Kong, Ching Yin Shan, manakala Alyssa mengatasi pelumba Taiwan, Liu Shang-ying pada pusingan kedua.
Kedua-dua pelumba negara itu sebelum ini masing-masing mencatat masa 10.764 saat untuk Izzah dan 10.708 saat bagi Alyssa dalam sesi kelayakan. Malaysia setakat ini sudah mengumpul dua pingat dalam berbasikal trek wanita menerusi perak acara pecut berpasukan dan gangsa keirin yang dimenangi Izzah.