PENAMPILAN sulung Mohd Rifdean Masdor di ONE Championship di Bangkok, Thailand, kelmarin, menjadi fenomena susulan kemenangan Technical Knockout (TKO) yang dicipta.

Atlet kelahiran Sarawak yang juga juara Sukan Malaysia (Sukma) 2018 dan 2022, memulakan kempen ONE Championship dengan bergaya apabila hanya memerlukan 78 saat untuk menewaskan pesaing dari Thailand, Pichai Lookbanmai menerusi TKO dalam pertarungan ONE Friday Fights 56 di Stadium Tinju Lumpinee.

Kemenangan itu membolehkan Rifdean yang mewakili pasukan Sor Sommai membawa pulang bonus sebanyak 350,000 baht (RM45,700).

Mungkin ramai berasa asing apabila mendengar nama Rifdean, namun atlet muaythai itu sudah menempa nama di pentas antarabangsa sejak remaja lagi.

Rifdean, 21, yang diberi julukan ‘Magic Boy’ tiga kali berturut-turut muncul juara dunia bawah 23 tahun sejak edisi 2021 di Thailand diikuti 2022 (Emiriah Arab Bersatu) dan 2023 (Thailand).

Sebelum itu, dia turut merangkul gelaran remaja dunia 2019 yang berlangsung di Turkiye selain memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina pada tahun sama.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan semua terutamanya keluarga saya, jurulatih dan pasukan dari Malaysia. Tidak mungkin saya mencapai kejayaan ini tanpa mereka.

“Saya komited untuk terus bekerja keras dan berusaha untuk kecemerlangan dalam semua yang saya lakukan. Syukur Alhamdullilah,” kata Rifdean.

Dia memberi jaminan dia akan terus bekerja keras untuk melakar lebih banyak kejayaan sekali gus mengharumkan nama Malaysia.

INFO

Nama: Mohd Rifdean Masdor

Umur: 21 tahun

Nama julukan: Magic Boy

Tempat lahir: Sarawak

Kelab: Sor Sommai/Headhunter Academy Ipoh

Wakil negeri: Perak

Jurulatih: Bernard Radin

Pencapaian:

– IFMA Juara Muaythai Dunia Senior U23 2023 Thailand -51kg

– IFMA Juara Muaythai Dunia Senior U23 2022 Abu Dhabi -48kg

– IFMA Juara Muaythai Dunia Senior U23 2021 Thailand -48kg

– IFMA Juara Muaythai Remaja Dunia 2019 Turkiye -45kg

– Pingat Emas Sukan SEA Filipina 2019 -45kg

– Sukma 2022 Muaythai – Emas

– Sukma 2018 Muaythai – Emas

Rekod ONE Championship: 1-0

Pichai Lookbanmai (Thailand) – TKO – 78 saat – ONE Friday Fights 56