INDIA kembali mengesahkan status kuasa besar sukan Komanwel apabila Ahmedabad diumumkan secara rasmi sebagai hos Sukan Komanwel 2030 pada Perhimpunan Agung di Glasgow, semalam.

Pengumuman itu melengkapkan penantian India untuk kembali menganjurkan temasya berprestij itu, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi New Delhi 2010 yang melonjakkan mereka melepasi angka 100 pingat.

India kembali anjur temasya sukan besar dunia.

Edisi Ahmedabad 2030 atau ‘Centenary Commonwealth Games’ bakal menawarkan 15 hingga 17 jenis sukan teras merangkumi olahraga, renang, gimnastik artistik, badminton, tinju, boling padang dan beberapa acara para.

Commonwealth Sport memaklumkan proses memuktamadkan baki acara bermula bulan depan dengan keseluruhan senarai dijangka diumumkan tahun hadapan.

Ilustrasi veneu sukan yang bakal digunakan pada Sukan Komanwel 2030 nanti.|FOTO Sportzzbook Indian Sports

Antara sukan dalam pertimbangan termasuk memanah, bola keranjang 3×3, bola tampar pantai, hoki, judo, ragbi tujuh sebelah, triatlon, berbasikal, terjun, menembak, skuasy serta gusti selain dua sukan tambahan yang boleh dicadangkan tuan rumah.

India turut dijangka mengekalkan acara kriket T20 selepas ia muncul pada edisi Birmingham 2022 namun hanya melibatkan kategori wanita.

Ilustrasi veneu sukan yang bakal digunakan pada Sukan Komanwel 2030 nanti.|FOTO Sportzzbook Indian Sports

Pemilihan Ahmedabad dibuat selepas proses penilaian ketat oleh Jawatankuasa Penilaian Commonwealth Sport yang meneliti aspek pengalaman atlet, infrastruktur, tadbir urus dan penjajaran nilai Komanwel.

India mengetepikan satu lagi pencabar utama, Abuja dari Nigeria, sekali gus menutup tirai bidaan untuk edisi ke-24 temasya yang bakal menandakan ulang tahun ke-100 sejak ia bermula di Hamilton, Kanada pada 1930.