CRISTIANO Ronaldo menutup kariernya di Euro dengan gagal menjadi juara ketika Portugal tewas kepada Perancis di suku akhir, awal pagi Sabtu.

Kemenangan Perancis menandakan berakhirnya perjalanan Portugal di Euro 2024. Skuad Selecao das Quinas boleh bertarung semula di Euro akan datang, dalam tempoh empat tahun yang akan berlangsung di England, Ireland Utara, Republik Ireland dan Wales.

Pada 2028 Portugal tidak lagi bersama Ronaldo. Jersi nombor 7 di Portugal bukan lagi milik CR7 kerana bekas pemain Sporting Lisbon, Manchester United dan Real Madrid itu telah menyatakan bahawa Euro 2024 akan menjadi yang terakhir.

“Ini adalah Euro terakhir saya, sudah tentu. Tetapi saya tidak menjadi emosi kerana itu, saya menjadi emosi tentang segala-galanya yang melibatkan bola sepak. Kerana semangat yang saya ada untuk permainan ini, semangat melihat peminat, keluarga, kasih sayang orang ramai untuk saya,” kata Ronaldo kepada O Jogo awal minggu ini.

Sejurus selepas sepakan penalti Theo Hernandez masuk ke gawang Diogo Costa, wajah Ronaldo kelihatan cuba untuk kekal gagah. Ekspresi kekecewaan jelas kelihatan, namun Ronaldo nampaknya tidak sanggup lagi menitiskan air mata di atas padang seperti ketika pusingan 16.

Pemain yang menjulang trofi Henri Delaunay di Euro 2016 itu kelihatan mempamerkan senyuman terpaksa apabila pemain dan pegawai Perancis menghampirinya.

Ronaldo kini telah mengumpul 212 penampilan bersama pasukan kebangsaan Portugal, dan menjaringkan 130 gol.

Cristiano Ronaldo dan Pepe berpelukan selepas perlawanan. (Sumber gambar : Euro 2024)

Biarpun sudah menyatakan tidak akan muncul lagi pada edisi Euro akan datang, namun masih belum diketahui bila Ronaldo akan bersara sepenuhnya daripada pasukan kebangsaan Portugal.

Di peringkat kelab, Ronaldo masih terikat kontrak dengan Al Nassr sehingga 30 Jun 2025.