DEMI menyelamatkan maruah bola sepak Thailand, tokoh wanita paling berpengaruh dalam arena sukan negara itu, Madam Pang, sanggup mengorbankan duit poket sendiri dengan menyumbang sebanyak 25 juta baht (sekitar AS$690,000 atau RM3.2 juta) kepada Persatuan Bola Sepak Thailand (FA Thailand) bagi melunaskan sebahagian hutang kepada syarikat media sukan tempatan, Siam Sport.
Pendedahan ini dibuat oleh wartawan sukan terkenal Thailand, @talao_, yang mencuri perhatian peminat bola sepak serantau dengan satu ciapan yang menyatakan sumbangan besar itu adalah daripada wang peribadi Madam Pang sendiri – bukan dana FA, bukan tajaan, tetapi dari dompetnya sendiri.

Madam Pang Guna Duit Sendiri Bayar Hutang FA Thailand
Tindakan luar biasa ini sekaligus menguatkan lagi status Madam Pang, atau nama sebenarnya Nualphan Lamsam, sebagai figura penyelamat sukan Thailand yang tidak hanya gah di atas kertas, tetapi juga sanggup berbelanja demi bola sepak negaranya.
Campur tangan Madam Pang dilihat bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi juga simbol keikhlasan dan kepimpinan berprinsip tinggi – sesuatu yang jarang dilihat dalam pentadbiran bola sepak Asia Tenggara.
Dengan tindakan ini, ramai pemerhati menjangka imej FA Thailand akan kembali kukuh, malah hubungan mereka dengan penggiat industri sukan termasuk media juga dijangka pulih.
Untuk rekod, Madam Pang bukan asing dalam dunia sukan – beliau juga merupakan pengurus pasukan kebangsaan Thailand dan tokoh korporat yang dihormati.