Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak, melihat kebangkitan pasukannya untuk mengikat Tampines Rovers 2-2 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee 2026-27 sebagai bukti karakter dan semangat juang pemainnya.
Beraksi di Stadium Taha Arifin malam tadi, Kuching City dilihat lebih banyak menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang, namun berdepan cabaran untuk memecahkan benteng Tampines Rovers yang tersusun.
Aidil mengakui keputusan seri itu tetap memberikan gambaran positif terhadap usaha anak buahnya, terutama selepas mereka terus memberikan tekanan sehingga berjaya menghasilkan dua gol.
“Secara keseluruhannya, saya berasakan kami mengawal permainan dengan baik dan tidak layak untuk tewas.
“Kami mencipta beberapa peluang, tetapi penjaga gol dan barisan pertahanan Tampines juga berhak menerima pujian kerana berjaya bertahan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Menurut Aidil, kualiti yang dimiliki Tampines Rovers turut menjadi antara faktor yang menyukarkan Kuching City untuk mendapatkan ruang di kawasan serangan.
Katanya, pertahanan lawan yang berdisiplin menyebabkan anak buahnya perlu bekerja lebih keras untuk mencari jalan menembusi benteng tersebut.
Namun, jurulatih itu tetap berpuas hati dengan reaksi pemainnya yang tidak mengalah ketika berada dalam situasi sukar.
Beliau berkata, kebangkitan untuk mendapatkan dua gol membuktikan Kuching City memiliki keupayaan untuk terus bersaing sehingga wisel penamat.
“Kami tidak boleh berhenti di sini. Inilah bola sepak dan kami perlu meneruskan apa yang sudah dilakukan dengan baik dalam perlawanan ini.
“Yang penting, kami perlu mengambil pengajaran daripada aksi ini dan memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
Keputusan itu menyaksikan Kuching City meneruskan kempen ACC dengan satu mata, sekali gus menjadikan aksi seterusnya penting untuk mereka memperbaiki kedudukan dalam persaingan kumpulan.