Persiapan Harimau Malaya menjelang aksi pembukaan Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN 2026 menerima tamparan apabila pemain tengah, Zhafri Yahya, disahkan tidak menyertai skuad yang berlepas ke Yangon, Myanmar, hari ini.
Ketiadaan pemain Kuala Lumpur (KL) City itu menyaksikan hanya 25 pemain dibawa bagi menghadapi perlawanan pertama menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, Sabtu ini.
Setakat ini, punca Zhafri tidak bersama skuad kebangsaan masih belum didedahkan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status pemain berusia 31 tahun itu menjelang sepak mula kejohanan.
Perkembangan itu menambahkan lagi cabaran buat ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, yang sebelum ini berdepan kesukaran membentuk skuad terbaik berikutan beberapa kekangan menjelang saingan Piala ASEAN.
Walaupun kehilangan seorang lagi tonggak di bahagian tengah, Harimau Malaya masih memiliki beberapa pilihan pemain untuk mengisi kekosongan tersebut dalam usaha memastikan rentak pasukan tidak terjejas.
Cheng Hoe, yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih interim pada 25 Jun lalu, berdepan situasi mencabar apabila kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain bertembung dengan persiapan pramusim kelab-kelab Liga Super bagi musim 2026-2027.
Selepas membuka kempen menentang Myanmar, Harimau Malaya akan kembali ke Kuala Lumpur untuk melayan kunjungan Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 28 Julai.
Skuad negara kemudian dijadual bertandang ke Bangkok bagi aksi ketiga Kumpulan B menentang Thailand di Stadium Rajamangala pada 1 Ogos sebelum menutup kempen peringkat kumpulan dengan menerima kunjungan Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 8 Ogos.