SABAH FC mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan memburu bekalan selesa apabila berdepan juara empat kali Sri Pahang dalam perlawanan separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia di Stadium Likas pada Sabtu.
Ketua Jurulatih Sabah, Martin Stano percaya setiap pemain skuad Badak itu juga telah melupakan kekalahan kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim minggu lalu.
Stano juga menuntut komitmen 150 peratus dari para pemain apabila berdepan Tok Gajah kendalian Fandi Ahmad bagi mencerahkan peluang ke perlawanan akhir yang kali terakhir dilakukan pada 2003.
“Sabah FC memandang serius kekalahan kepada JDT, dan melupakannya dengan misi baharu memburu kelebihan jaringan dalam separuh akhir pertama menentang Sri Pahang sebagai bekalan untuk timbal balik kedua selepas ini.
“Biarpun begitu kami menghormati status Sri Pahang selain tidak memandang rendah keupayaan lawan sama seperti pasukan-pasukan lain dalam semua pertandingan,” katanya.
Sementara itu, Stano sekali lagi mengharapkan penyokong-penyokong setia dapat hadir memberikan sokongan padu dalam usaha pasukan memburu bekalan selesa untuk ke pentas final.
“Kami amat berharap rakyat khasnya penyokong setia Sabah FC untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan padu sebagai pemain ke-12 dalam perlawanan penting ini.
“Sejujurnya, ini adalah peluang serta landasan terbaik bagi pasukan Sabah FC membuktikan keupayaan pasukan untuk mara ke perlawanan akhir,” jelasnya.

Pemain Sabah FC gigih menjalani latihan menjelang separuh akhir pertama Unifi Piala Malaysia.
Mengenai status pemain Sabah FC untuk perlawanan ini, Stano menjelaskan masih terdapat beberapa pemain berada dalam senarai kecederaan.
Biarpun begitu, ia bukan masalah besar kerana Sabah FC masih mempunyai baki masa untuk menentukan senarai akhir pemain akan beraksi.
Sebagai rekod, kali terakhir Sabah layak ke final Piala Malaysia adalah pada 2003 dimana mereka tewas kepada MPPJ FC.
FOTO : SABAH FC