KELANTAN Red Warriors FC (KRWFC) dengan rasmi mengumumkan pelantikan Irfan Bakti Abu Salim sebagai ketua jurulatih baharu pasukan pada Khamis.

Pelantikan ini dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap keperluan pasukan dan visi jangka panjang yang ingin dicapai oleh KRWFC.

Presiden KRWFC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan, turut menyatakan rasa teruja dan penghargaan atas kesudian Irfan Bakti menyertai pasukan.

“Kami percaya pengalaman dan rekod cemerlang Irfan Bakti akan memberikan impak besar kepada pasukan. Kami menyeru semua penyokong KRWFC untuk terus memberikan sokongan padu kepada beliau dan pasukan dalam usaha mencapai kejayaan bersama,” katanya menerusi laman rasmi kelab.

Irfan Bakti, seorang figura yang sangat dihormati dalam arena bola sepak tempatan, membawa pengalaman lebih dari tiga dekad dalam dunia kejurulatihan.

Namanya cukup sinonim dengan pencapaian cemerlang bersama beberapa pasukan Liga Malaysia, menjadikannya pilihan ideal untuk mengemudi KRWFC ke arah kegemilangan baharu.

Sebagai Ketua Jurulatih, Irfan Bakti diberi tanggungjawab untuk mengetuai pasukan utama sambil menerapkan falsafah permainan yang mencerminkan identiti KRWFC.

Pihak pengurusan yakin dengan kebolehan dan kepakaran beliau untuk membawa perubahan positif kepada pasukan.