PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah cabaran Terengganu FC apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Jumaat.

Kim Swee juga sedar meskipun Terengganu bergelut di laman lawan dan Sabah mempunyai rekod yang baik di laman sendiri, namun itu bukanlah jaminan untuk tidak mengekalkan rentak permainan yang ditunjukkan dalam perlawanan sebelum ini.

Skuad Badak juga mungkin tidak dapat menurunkan barisan terbaik kerana ada beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan namun Kim Swee tetap yakin bahawa semua pemainnya bersedia untuk diturunkan jika diperlukan.

“Kita tidak boleh mengambil mudah apabila bermain menentang pasukan Terengganu FC kerana kita tahu walaupun mereka tewas dengan pasukan Selangor FC sebelum ini tetapi mereka telah membuktikan mereka berada dalam kelompok yang terbaik ketika ini.

“Kita juga harus mengekalkan apa yang telah dilakukan pada tiga perlawanan yang lepas dan mengekalkan rekod kita di mana ini penting untuk meneruskan saingan liga supaya tidak tercicir mata di tempat sendiri.

“Beberapa pemain masih lagi mengalami kecederaan seperti Park Tae-su, Ko Kwang-min dan juga beberapa pemain tetapi kita masih menunggu sehingga saat-saat akhir sama ada mereka dapat diturunkan dan pada masa yang sama para pemain yang lain saya percaya telah bersiap sedia untuk diturunkan jika mereka diberi peluang,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Sabah kini dalam prestasi terbaik apabila berjaya memenangi tiga perlawanan berturut-turut di tempat sendiri dan berpeluang untuk menambah derita Terengganu jika berjaya mencatatkan keputusan positif serta meneruskan tekanan kepada pasukan di tempat kedua dan ketiga Liga Super.