PERSIAPAN Sabah FC sedikit terjejas selepas tiga pemain utama tidak dapat beraksi menjelang pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Ketua Jurulatih Sabah FC Martin Stano menjelaskan mereka kehilangan khidmat Gabriel Peres, Telmo Castanheira serta Daniel Ting yang digantung perlawanan ekoran menerima kad amaran.
Namun begitu dia yakin Sabah FC mempunyai “game plan” yang cukup teliti di samping dapat memastikan mereka yang diturunkan nanti mampu memberikan saingan sengit kepada Harimau Selatan.
“Kita meletakkan sasaran tinggi bertemu JDT berikutan Sabah FC bertemu dengan pasukan terbaik dalam Liga Super. Saya tidak percaya bahawa keputusan seri atau kemenangan sudah cukup sebagai ukuran menentang JDT nanti.
“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah FC dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal berada pada tahap maksimum. Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti,” katanya.
Selain itu, Martin juga mahu Sabah FC untuk mengekalkan rentak kemenangan serta memastikan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan ini nanti.
“Kami masih mempunyai tempoh beberapa hari serta akan menjalani sesi latihan sebelum menjelang perlawanan sebenar pada Sabtu.
“Jadi mungkin kami akan melakukan beberapa pelarasan posisi untuk mencorak strategi serta bersedia untuk dapat mengejutkan pasukan lawan nanti,” jelas Martin.