SELANGOR FC berjaya menjulang trofi Selangor Asia Challenge 2024 dengan bergaya selepas menewaskan Young Elephants 4-0 dalam aksi di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad.

Anak-anak buah Nidzam Jamil mempamerkan aksi bertenaga dengan menguasai permainan dengan hantaran-hantaran pendek menarik dengan wakil Laos langsung tidak mampu untuk menggugat benteng Gergasi Merah.

Kapten fantastik, Safuwan Baharudin meledak dua jaringan pada babak pertama sebelum Faisal Halim dan Syahir Bashah melengkapkan malam gemilang Selangor sekaligus menggembirakan 3,711 penyokong yang hadir.

Kemenangan ini memberikan Selangor enam mata penuh selain lapan mata tambahan menerusi lapan jaringan yang dihasilkan sekaligus muncul pasukan terbaik seterusnya menjulang trofi edisi kedua ini.

Kejayaan ini juga dijangka akan memberikan keyakinan kepada Selangor untuk menghadapi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC 2 2024-25 yang akan bermula pada Mei 2024.

Balestier Khalsa muncul pasukan kedua terbaik dengan lapan mata dan menerima medal serta membawa pulang wang kemenangan USD5,000 manakala DPMM FC ketiga dengan empat mata dan Young Elephants keempat tanpa sebarang mata.

Selangor selaku juara pula membawa pulang wang kemenangan USD10,000 dan melaungkan amaran awal akan muncul sebagai pencabar utama dalam Liga Malaysia musim ini.