LEGENDA Harimau Malaya, Safee Sali terus membuktikan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak akar umbi negara apabila kembali menganjurkan kejohanan belia menerusi Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium MPAJ, Pandan Perdana pada 27 Disember ini.

Kejohanan itu menjadi kesinambungan kepada kejayaan penganjuran Piala Super Safee Serenia sebelum ini, sekali gus mengukuhkan peranan Safee sebagai antara figura penting dalam usaha membina asas kukuh bola sepak negara melalui platform pertandingan berstruktur dan berkonsepkan karnival keluarga.

Menurut Safee, penganjuran Superkids Cup bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya ruang pembelajaran dan pembentukan keyakinan buat pemain muda dalam suasana yang menyeronokkan.

“Piala MommyHana Safee Sali Superkids 2025 direka sebagai platform untuk kanak-kanak bersaing, belajar, menikmati bola sepak serta merasai suasana karnival sebenar bersama keluarga. Ini adalah kesinambungan daripada apa yang kami bina sebelum ini, satu ruang untuk kanak-kanak membina keyakinan sambil berseronok,” katanya.

Kejohanan itu akan mempertandingkan empat kategori umur iaitu 5 lawan 5 bawah 8 tahun (B-8), 7 lawan 7 bawah 10 tahun (B-10), 9 lawan 9 bawah 12 tahun (B-12) dan 9 lawan 9 bawah 14 tahun (B-14), dengan hanya lapan pasukan dibenarkan bagi setiap kategori bagi memastikan tahap persaingan kekal kompetitif dan seimbang.

Selain merebut piala dan pingat, peserta turut berpeluang memenangi anugerah pemain terbaik (MVP) serta baucar wang tunai, menjadikan kejohanan ini lebih menarik dan bermakna buat pemain muda serta keluarga mereka.

Penganjuran kejohanan itu turut mendapat sokongan padu daripada penaja utama, MommyHana, dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Farid Mohamed Sangido menyifatkan kolaborasi tersebut selari dengan misi pembangunan kanak-kanak secara menyeluruh.

“MommyHana berbesar hati dapat bekerjasama dengan Safee Sali dalam penganjuran acara yang bermakna ini. Kanak-kanak adalah nadi kepada apa yang kami lakukan dan kejohanan ini selari dengan misi kami untuk memberi inspirasi kepada generasi muda,” katanya.

Kolaborasi antara Safee Sali dan MommyHana menyatukan elemen sukan, keluarga dan komuniti, dengan aspirasi untuk menjadikan Piala Superkids sebagai acara tahunan dalam kalendar bola sepak belia negara, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat muda berkualiti untuk masa depan bola sepak Malaysia.