PENYERANG prolifik Liverpool, Mohamed Salah yang sedikit bergelut dengan prestasi musim ini membuktikan dia masih berbisa apabila berjaya mencipta dua rekod yang luar biasa ketika membantu Liverpool membenam Rangers 7-1 dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA di Ibrox.

Dia yang masuk menggantikan Darwin Nunez pada minit ke-67 hanya memerlukan 10 minit sebelum meledak hatrik dalam tempoh 6 minit 12 saat menjadikannya hatrik terpantas dalam sejarah Liga Juara-Juara.

Tiga gol pada minit ke-76, 80 dan 81 itu juga menjadikan Salah kini penjaring terbanyak bagi pemain untuk sebuah kelab dengan 38 gol mengatasi rekod Didier Drogba dan Sergio Aguero masing-masing dengan 36 gol.

 

Kemenangan selesa ini juga menyaksikan Liverpool hanya memerlukan satu mata dari baki dua perlawanan Kumpulan A, menentang Ajax Amsterdam dan Napoli untuk layak ke peringkat 16 terbaik.

“Salah sememangnya adalah pemain yang luar biasa seperti yang kita semua ketahui. Kesemua pemain juga beraksi baik pada perlawanan ini dan kami tahu kami perlu perbaiki konsistensi kami,” kata pengurus Liverpool Jurgen Klopp selepas perlawanan.

Nada yang sama turut dilaungkan pemain pertahanan antarabangsa, Virgil van Dijk yang nyata gembira dengan kemenangan besar ini selepas Liverpool bergelut sepanjang musim ini.

“Apa yang kami harapkan berjaya dilakukan. Ianya sangat baik untuk menang 7-1 disini kerana kami tahu kami dalam keadaan yang sukar ketika ini dan kami akan mengambil setiap perlawanan pada satu masa,” jelas pemain Belanda itu.

Kemenangan ini pastinya akan memberikan suntikan moral yang baik buat Liverpool yang akan berhadapan Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.