PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan debut kurang memberangsangkan Abdukodir Khusanov bersama Manchester City sebagai pelajaran terbaik buat pemain muda itu selepas dia terlibat dalam beberapa insiden yang mencetuskan kontroversi ketika perlawanan menentang Chelsea, awal pagi Ahad.

Khusanov, pemain pertahanan berusia 20 tahun dari Uzbekistan yang baru menyertai City dari Lens dengan nilai anggaran RM200 juta, dimasukkan terus ke kesebelasan utama di Etihad Stadium walaupun hanya sempat menjalani satu sesi latihan bersama pasukan baharunya.  

Namun, kekurangan persediaan itu terserlah seawal minit ketiga apabila tandukan ke belakangnya yang kurang tepat dipintas oleh Nicolas Jackson, membolehkan Noni Madueke membuka jaringan untuk Chelsea.

 

Abdukodir Khusanov menerima kad kuning selepas terjahan kasarnya terhadap Cole Palmer 

Beberapa minit kemudian, Khusanov sekali lagi menjadi perhatian apabila menerima kad kuning selepas terjahan kasarnya terhadap Cole Palmer.

VAR sempat meneliti insiden itu untuk kemungkinan kad merah, tetapi permainan diteruskan tanpa tindakan lanjut.  

Memetik laporan media antarabangsa, Guardiola mempertahankan keputusannya untuk menurunkan Khusanov dan menekankan bahawa pengalaman seperti ini adalah peluang pembelajaran yang amat bernilai.  

“Ini bukan perkara mudah untuknya, dia hanya menjalani satu sesi latihan, kemudian bermain menentang Jackson, Cole, Madueke, dan Sancho.

“Apabila anda membeli pemain muda seperti ini, proses pembelajaran adalah penting dan tindakan-tindakan seperti ini adalah pelajaran terbaik yang boleh diperolehi,” kata Guardiola  dalam sidang media selepas perlawanan.

Debut Khusanov mungkin menjadi mimpi buruk, tetapi bagi Guardiola, ia adalah langkah awal untuk membentuk bintang masa depan. 

Kini, perhatian City tertumpu kepada perlawanan penting Liga Juara-Juara UEFA menentang Club Brugge pada hari Khamis, sebelum pertembungan besar Liga Perdana Inggeris menentang Arsenal pada 3 Februari.