TIDAK hanya gelaran dan kejuaraan dalam kalangan pemain elit negara menjadi tuntutan, malah Akademi Badminton Malaysia (ABM) mahu melahirkan pemain pelapis yang yang berjaya menghasilkan keputusan positif di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2024.
Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky berkata, tekanan perlu ditingkatkan dalam usaha melahirkan lebih ramai juara dan menghasilkan pelapis berkualiti.
Katanya, sebagaimana pemain perseorangan lelaki negara, kini tidak lagi bergantung kepada Ng Tze Yong berikutan Leong Jun Hao juga sudah mula meraih gelaran selain Justin Hoh, mula mencipta kejutan pada kejohanan disertainya.

Ng Tze Yong muncul naib juara di Terbuka Arctic, selepas tewas kepada rakan senegara, Lee Zii Jia.
“Kita harap tahun 2024 dapat lahirkan lebih ramai juara, bukan setakat peringkat elit malah pelapis juga,” kata Rexy.
Selain itu, beregu lelaki juga menampakkan hasil dengan kemampuan dengan empat gandingan ABM berjaya merangkul kejuaraan sepanjang 2023.
Pasangan nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Denmark Oktober lalu, diikuti Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjuarai Terbuka Taiwan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih gelaran Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Denmark.
Gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei pula meraih tiga gelaran sejak kembali bergandingan, bermula di Terbuka Amerika Syarikat (AS), Masters Kaoshiung Taiwan dan Masters Abu Dhabi UAE, sementara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri pula merangkul dua kejuaraan berturut-turut pada kejohanan Antarabangsa Syed Modi dan Masters Guwahati, di India.
Turut merangkul kejuaraan gandingan Yap Roy King-Wan Arif Junaidi yang memenangi Cabaran Antarabangsa Nentes di Perancis.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan peningkatan prestasi luar biasa pada 2023.
Manakala beregu campuran negara pula menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meraih tiga gelaran, bermula dengan Kejohanan Antarabangsa Iran Fajr, Orleans Masters dan Terbuka Taiwan.
Gandingan itu bakal mempunyai pencabar, apabila Hoo Pang Ron yang baru dipasangkan dengan Cheng Su Yin, menghadirkan impak segera dengan menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia dan ke separuh akhir Cabaran Antarabangsa Syed Modi India.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin raih gelaran antarabangsa pertama di Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak.
“Secara keseluruhannya, kita perlu mempunyai pelapis yang kuat dalam beregu wanita, perlu segera membawa pemain pelapis naik.
“Paling bergelut tentunya perseorangan wanita. Meskipun Wong Ling Ching bermain baik di kejohanan berstatus Super 300, namun selepas itu dia merosot pada kejohanan rendah Super 100.
“Saya boleh lihat motivasinya meningkat di bawah kendalian jurulatih K Yogendran tetapi dua bahagian ini, memerlukan kerja keras untuk diperbaiki,” ujar Rexy.