KEPULANGAN Lee Zii Jia ke dalam skuad negara dilihat sebagai langkah penting, justeru semua pemain dipanghil akan dipastikan berada pada tahap kecergasan terbaik menjelang Piala Thomas 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Lee Chong Wei, menegaskan pendekatan berpasukan diberi penekanan khusus kerana cabaran kejohanan berpasukan berbeza daripada saingan individu.

“Kejohanan berpasukan dan individu memang tidak sama, jadi latihan ini untuk bina semangat berpasukan,” katanya.

Beliau mengesahkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu turut bersetuju menyertai kem latihan pusat selama 10 hari di Denmark selepas tamat Kejohanan Badminton Asia.

“Dia pun setuju sertai kem di Denmark dan jika mahu berlatih lebih awal di Akademi Badminton Malaysia, pintu sentiasa terbuka,” ujarnya.

Menurut Chong Wei, kehadiran Zii Jia menjadi suntikan besar dari sudut strategi perseorangan menjelang kempen di Horsens.

“Sama ada dia bermain perseorangan kedua atau ketiga, itu strategi pasukan dan keputusan akan dibuat barisan kejurulatihan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap pemain berusia 28 tahun itu mencapai tahap kecergasan optimum dan mendapatkan sokongan Institut Sukan Negara (ISN) jika perlu.

“Yang penting semua pemain berada dalam keadaan terbaik dan mampu beri persembahan maksimum setiap perlawanan,” katanya.