PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menganggap satu mata yang diperolehi di Paroi sangat penting apabila mereka terpaksa mengharungi tiga perlawanan berturut-turut di tempat lawan.

Sabah bangkit menerusi jaringan ketua pasukan, Park Tae-su pada babak kedua untuk mengikat keputusan 1-1 dan membawa pulang satu mata selepas tewas dalam dua perlawanan berturut-turut kepada Johor Darul Ta’zim dan Kuala Lumpur City FC.

Pada masa yang sama dia turut memuji komitmen para pemainnya yang bangkit dari ketinggalan meskipun sedar bukan mudah untuk menghadapi Negeri Sembilan FC di laman mereka.

“Seperti lawan KL sebelum ini, kami banyak mencipta peluang cuma apa yang membezakan adalah kami dapat samakan kedudukan. Apa yang positif adalah para pemain tidak mengaku kalah dan bermain bersungguh-sungguh dan jika dilihat secara keseluruhan kita layak dapat tiga mata tetapi bukan mudah apabila beraksi di tempat lawan terutama di Negeri Sembilan.

“Mereka menyukarkan kami dengan mempunyai corak permainan hantaran jauh kepada penyerang dan jika kami dibolosi sukar buat kami tetapi kesungguhan pemain beri kami bawa pulang satu mata.

“Kami tahu kekuatan dan kelebihan pada pasukan namun penyudah sedikit tumpul dan perlu diperbaiki tetapi pemain berikan komitmen yang tinggi selepas kita tewas dua kali dan ini adalah mata yang penting kerana kami sudah bermain tiga perlawanan di tempat lawan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kehadiran semula Park Tae-su yang kembali dari penggantungan dilihat membantu barisan serangan Sabah yang hilang punca pada perlawanan sebelum ini dengan pemain Korea Selatan itu berjaya memberikan gol penyamaan.

Keputusan seri itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kelima dengan 14 mata dari lapan perlawanan dan bakal bertemu dua kelab Kelantan iaitu Kelantan United pada aksi Piala FA dan Kelantan FC untuk aksi Liga Super selepas itu.