BANGKIT daripada kekecewaan, Sawda Hasbullah kembali meledak di pentas Asia apabila memecahkan rekod sebenua sambil mempertahankan emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Trek, di Tagaytay, Filipina hari ini.

Di Velodrom Tagaytay, pelumba remaja negara itu mempamerkan kayuhan luar biasa dalam acara satu kilometer ujian masa wanita.

Masa 1 minit 09.604 saat dicatatkannya bukan sahaja menghadiahkan emas, malah memadam rekod Asia miliknya sendiri.

Rekod lama 1:10.818s yang dilakar di Velodrom Nasional, Nilai Februari lalu akhirnya diperbaharui dengan kayuhan lebih agresif dan matang.

Sawda terus memahat nama sebagai bintang masa depan basikal trek negara dengan satu lagi rekod baharu Asia. | FOTO FB Asian Cycling Confederation

Perak menjadi milik Lee Hyun Ji dari Korea Selatan, manakala gangsa diraih pelumba India, S Thabitha.

Walaupun tidak memecahkan rekod dunia milik Erin Boothman, Sawda tetap membuktikan dirinya pelapis sensasi negara.

Sebelum itu, dia bangkit menyumbang gangsa dalam acara pecut berpasukan remaja wanita bersama Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Davia Evriel Eriana Azif.

Sementara itu, kem negara turut dikejutkan dengan kegagalan Nurul Izzah Izzati Asri mengulangi pencapaian podium dalam acara pecut.

Pelumba kelahiran Kedah itu terlebih dahulu tewas di separuh akhir kepada jaguh Jepun, Mina Sato.

Dalam aksi penentuan gangsa, dia sekali lagi terpaksa akur selepas tewas 0-2 kepada wakil China, Wang Lijuan.

Emas acara pecut menjadi milik seorang lagi pelumba China, Yuan Liying yang menewaskan Sato 2-1 di final.