TAHUN 2024 membawa bersama kisah-kisah suka-duka dan luar biasa dalam dunia sukan negara. Dari aksi dramatik di padang hingga perjuangan membanggakan di pentas antarabangsa, inilah rangkuman menarik dari FLASH SUKAN sepanjang tahun ini yang terus terpahat dalam sejarah.
Awal tahun dimulakan dengan kekecewaan apabila skuad hoki lelaki negara terus kempunan ke pentas Olimpik.
Aksi The Speedy Tigers yang sekadar seri 3-3 ketika menentang Pakistan tidak cukup untuk menghapus kemarau 28 tahun tanpa tiket ke Olimpik, sekaligus menamatkan kempen Kelayakan Olimpik di Muscat, Oman tanpa sebarang kemenangan.
Februari pula menyaksikan berita menyayat hati apabila Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Ariany Nasril, bersama keluarganya terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Insiden tragis ini mengetuk hati komuniti sukan yang tampil memberikan sokongan moral dan doa untuk pemulihan mereka sekeluarga.
Bulan Mac membawa khabar mengecewakan apabila Malaysia menolak tawaran menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026.
Walaupun keputusan ini berdasarkan pertimbangan mendalam kerajaan, ia tetap menjadi topik perbualan hangat di kalangan rakyat yang mengharapkan peluang untuk melihat temasya berprestij itu di tanah air.
Tidak ketinggalan, drama di padang bola sepak terus menjadi tumpuan apabila kejohanan MSSD di Kedah dikejutkan dengan pergaduhan panas melibatkan pemain dan pegawai.
Video insiden ini tular di media sosial, membangkitkan perbincangan tentang sikap profesionalisme dalam sukan akar umbi.
Di pentas antarabangsa, Malaysia terpaksa membiarkan kemarau kekalahan berpanjangan dalam acara regu berpasukan dengan Thailand, setelah tewas 1-2 di pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Tidak dinafikan, aksi yang memberangsangkan telah ditonjolkan oleh skuad kendalian Ahmad Jais Baharun namun terdapat beberapa kesilapan yang dibuat sekali gus menyaksikan Thailand berjaya mencuri peluang untuk memunahkan hasrat Malaysia.
Menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, kontroversi tercetus mengenai rekaan pakaian rasmi kontinjen negara yang mendapat kritikan netizen yang menyifatkannya tidak cantik dan selain mempersoalkan logo bendera Malaysia yang dikatakan tidak ‘tepat’.
Timbalan Presiden MOM, yang juga Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris, Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata, tempoh 30 hari lagi menjelang Temasya Paris, adalah tempoh untuk memberi sokongan kepada kontinjen, bukan mempertikaikan soal warna, cantik atau tidak.
Namun, fokus utama kembali kepada pencapaian atlet apabila Malaysia mencipta sejarah menerusi penyertaan pasukan JDT Racing Team di Kejohanan Superbike World Championship (WSBK).
Hafizh Syahrin, dengan jentera Ducati Panigale V4R, menjadi simbol kemajuan dunia permotoran negara.
Di Paris, pembukaan rasmi Olimpik menyaksikan kontinjen Malaysia melangkah penuh bergaya dengan busana rekaan Rizman Ruzaini, manakala bendera negara diarak oleh Bertrand Rhodict.
Aksi di gelanggang pula menyaksikan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbangkan pingat pertama bagi Malaysia di Paris 2024 apabila bangkit menewaskan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark 16-21, 22-20, 21-19.
Manakala Zii Jia pemain ranking ketujuh dunia, meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, selepas bangkit daripada ketinggalan satu set dan menang 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa.
Namun, tidak semua berjalan lancar di temasya tersebut. Harapan emas negara, Azizulhasni Awang, terkubur di garisan permulaan acara keirin akibat pelanggaran peraturan, manakala Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang membawa pulang pingat akibat kemalangan dalam perlumbaan akhir.
Dalam pada itu, Sukan Malaysia (Sukma) 2024 menyaksikan Sarawak merangkul gelaran juara keseluruhan buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun, menandakan kebangkitan sukan negeri itu.
Tidak dilupakan, temasya Paralimpik di Paris menyaksikan Eddy Bernard menghadiahkan pingat pertama buat Malaysia, manakala jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, meraih perak dan mengumumkan temasya LA 2028 sebagai yang terakhir buatnya.
Impian jaguh olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly, untuk melengkapkan hatrik emas dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) tidak tercapai apabila beliau hanya meraih pingat perak di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Lompatan terakhir Matvei Iakushev, yang bertanding sebagai Atlet Paralimpik Neutral dengan rekod 7.51 meter (m), telah menewaskan Latif yang sebelum itu hampir mempertahankan emasnya dengan lompatan terbaik 7.45m pada percubaan ketiganya.
Oktober menyaksikan kisah inspirasi Tajudin Mustaffa, yang pada usia 61 tahun berjaya menamatkan cabaran Ironman Malaysia Langkawi, membuktikan bahawa usia hanyalah angka dalam mengejar impian.
Pada 17 November, pasukan Negeri Sembilan Antlers melakar sejarah apabila mengekalkan gelaran juara STL Champions Cup 2024, menewaskan KL Thunder 2-0 dalam perlawanan yang penuh dramatik.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya menyaksikan Antlers menunjukkan semangat juang yang tinggi dan kehebatan taktikal mereka, meletakkan mereka di puncak liga dan mencatatkan nama mereka dalam sejarah sukan tempatan.
Tidak ketinggalan, kejayaan skuad Young Tigress yang melayakkan diri ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025 turut memberi impak besar dalam dunia hoki negara.
Pada 16 Disember, mereka menundukkan Thailand dengan kemenangan 6-0 dalam perlawanan penentuan tempat kelima-keenam di Piala Remaja Asia yang berlangsung di Muscat, Oman.
Ini adalah kali pertama dalam 35 tahun pasukan hoki remaja wanita Malaysia layak ke kejohanan tertinggi ini, menjadikannya sebagai pencapaian bersejarah dan titik tolak baru bagi sukan hoki wanita di Malaysia.
Namun, kejayaan Malaysia tidak terhenti di padang sukan sahaja. Pada 12 Disember 2024, Ahmad Muhaimin atau dikenali sebagai Minbappe mencipta sejarah dalam dunia e-sukan apabila muncul juara dunia dalam kategori mobile FIFAe World Cup Ft eFootball 2024.
Kemenangan 2-0 ke atas wakil Maghribi bukan sahaja menjadikan Malaysia juara dunia untuk pertama kalinya, tetapi juga mengukuhkan kedudukan negara sebagai kuasa besar dalam arena e-sukan global, menjadikan Malaysia negara Asia Tenggara pertama yang menakluk kejohanan prestij ini.
Tahun 2024 juga menyaksikan sukan baharu seperti walking football wanita menempa kejayaan besar apabila skuad Women Social Football (WSF) Malaysia merangkul trofi juara dalam Kejohanan Walking Football International yang diadakan di Bangkok, Thailand pada 7-10 Disember lalu.
Walaupun baharu pertama kali menyertai kejohanan di luar negara, pasukan ini berjaya menonjol dengan pencapaian cemerlang, menewaskan kelab-kelab dari Malaysia dan Sepanyol sebelum menjuarai kejohanan tersebut. Ini menandakan permulaan yang gemilang bagi sukan ini di Malaysia dan memberi harapan besar untuk masa depan.
Tahun 2024 jelas menunjukkan bahawa sukan Malaysia tidak hanya terhad kepada acara tradisional, tetapi juga berkembang pesat dalam pelbagai bidang baru.
Dengan atlet-atlet yang semakin cemerlang di pelbagai peringkat, Malaysia semakin menunjukkan potensi untuk terus bersaing di pentas dunia, dan terus bekerja lebih gigih.
Terima kasih 2024, dan selamat datang 2025!