Foto: MSN JOHOR
“BALIK Johor, saya nak beritahu kawan-kawan, saya dapat ini (trofi) daripada Datuk Nicol,” kata Tan Rouxin, penerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukma Ke-20.
Berwatakan ‘cute;, namun gadis manis berusia 16 tahun ini jangan dibuat main, enam pingat emas satu perak dan satu gangsa ‘disapu’ bersih.
Lebih membanggakan, dia merakam catatan peribadi terbaiknya dalam tujuh acara.
Menurut Rouxin, dia langsung tidak menyangka dapat memperbaharui catatan peribadi apatah lagi meraih enam pingat emas pada temasya Sukma yang kali pertama disertainya.

Katanya, menerima anugerah itu menjadi satu kejutan dan apabila trofi disampaikan bekas ratu skuasy dunia pula, menjadi satu hadiah besar.
“Terima trofi daripada Datuk Nicol David, tak dapat bayangkan betapa terujanya saya. Dia ucapkan tahniah kepada saya dan memberi motivasi untuk teruskan usaha mendapatkan keputusan lebih baik.
“Sebenarnya amat sukar untuk saya apabila beraksi di Sukma sejurus selepas berenang di Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Baru 10 hari lalu main MSSM, terus ke Sukma dan saya dapat lakukan yang terbaik di sini, sangat gembira dan bangga,” kata Rouxin.
Dia yang berada di bawah program Latihan kebangsaan, bagaimanapun menjalani latihan di Johor Bahru di bawah kendalian jurulatih peribadi.
Pemilihannya sebagai atlet terbaik itu meningkatkan lagi semangat untuk mencipta kejayaan dan Rouxin berharap terpilih mewakili negara di temasya Sukan SEA Kemboja tahun hadapan.

“Saya sasarakan untuk beraksi di Sukan SEA tahun depan dalam acara 100m dan 200m kuak dada, 200m medley individu, 100m, 50m dan 200m kuak lentang.
“Bagaimana saya nak raikan kejayaan ini… saya nak terus berlatih. Selain itu mungkin saya akan raikannya dalam majlis makan malam bersama jurulatih, keluarga dan juga penaja saya,” katanya.
Sebagai rekod, Rouxin meraih pingat emas dalam acara 50m, 100m, 200m kuak dada, 100m 200m kuak lentang dan 200m medley individu, selain pingat perak (50m kuak lentang) dan gangsa dalam 4x100m berganti-ganti pada temasya kali ini.