PERIT melihat senior mencapai kejayaan, menjadi faktor kejayaan penerima anugerah Atlet Lelaki Terbaik Sukan Malaysia ke-20 (SUKMA), Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize mahukan kejayaan lebih besar.

Atlet kanu berusia 21 tahun itu berkata, tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima anugerah itu malam tadi.

“Bagi saya, ramai atlet Johor yang memberi sepenuh kudrat demi mendapatkan pingat emas. Tambahan pula kebanyakan kami menjadikan SUKMA ini sebagai penyertaan terakhir dan kami berpuas hati serta berbangga,” kata Fakhrullah, yang menjadikan kejayaan ini adalah hasil dari proses latihan sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, atlet kanu Johor menjalani Latihan dua minggu di Hungary bersama jurulatih profesional di sana.

Beliau berharap, kejayaan dicapainya menjadi motivasi kepada atlet Johor yang bakal bertanding pada edisi 2024 nanti.

Mengulas mengenai kejutan yang ditampilkan Majlis Sukan Negara (MSN) yang menampilkan tiga legenda sukan negara, Datuk Azizulhasni Awang, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David, Fakhrullah berkata, matanya terbeliak apabila melihat idola-idolanya berada di depan mata.

“Saya terima anugerah disampaikan Datuk Azizulhasni, dia seorang yang mesra. Dia berbisik bertanya pada saya tinggal di mana.

“Seronok sangat dapat jumpa ‘face to face’. Selama ini tengok dia di kaca TV ketika beraksi di Olimpik dan sebagainya. Malah ketika terima trofi ini, tangan saya menggeletar,” kata Fakhrullah.

Atlet Lelaki Terbaik itu mahu terus menempa kejayaan di pentas antarabangsa dan berharap diserap masuk ke kem kebangsaan.

Selain atlet lelaki, Johor juga mengungguli kategori Atlet Wanita Terbaik SUKMA, Tan Rouxin selain kontinjen Johor dimasyhurkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.