SELEPAS pemecatan Frank Lampard sebagai pengurus Everton, Sean Dyche bersedia memberi nafas baharu buat Everton setelah bergelut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Everton melantik bekas bos Burnley itu bagi menyelamatkan mereka daripada penyingkiran.

Pengendali berusia 51 tahun itu menzahirkan penghargaan kerana diberi penghormatan untuk mengendalikan kelab Merseyside itu yang tidak menang sebarang kejuaraan sejak 1995.

Dyche menyedari skuad tersebut memerlukan transformasi secara menyeluruh bagi membentuk suatu skuad yang mampu mencabar kelab-kelab besar lain.

Namun, dia sudah ada ramuan tersendiri hendak memastikan Everton mampu mencabar dan menang ke atas kelab-kelab besar.

“Ada cabaran besar di depan tetapi saya sudah bersedia dan akan mengambil tanggungjawab itu. Saya tidak sabar memainkan peranan dan memperbetulkannya.

“Kami mahu mengubah bentuk kelab ini untuk terus ke depan, membentuknya menjadi cara kami, tapi membentuknya dengan cara kami boleh menang.

“Kami mahu membentuk sebuah pasukan yang boleh melakukannya, yang boleh bertarung dan bangga memakai lencana kami, melebihi taktikal dan teknikal.

“Saya tidak mempersoalkan mana-mana pengurus yang berada di sini sebelum ini, saya sudah ada bayangan dan cara saya dan itulah yang saya mahu lakukan,” jelasnya.