SKUAD muda Harimau Selatan, Johor Darul Ta’zim II menutup kempen Piala MFL 2024/25 dengan penuh bergaya apabila membelasah Penang FC II 7-0 dalam aksi terakhir musim ini di Stadium Sultan Ibrahim, sekali gus dinobatkan sebagai juara dengan kelebihan satu mata mengatasi pencabar terdekat, Selangor.
Kemenangan itu turut menyaksikan anak buah Gonzalo Sanz Zaballos menebus kekecewaan musim lalu apabila sekadar muncul naib juara.
Kali ini, mereka tidak memberi ruang langsung kepada pasukan lawan apabila beraksi garang sejak minit pertama dengan dibarisi pemain-pemain berpengalaman seperti Romel Morales, Heberty Fernandes, Shahrul Saad dan kapten, Shane Lowry.
JDT II hanya memerlukan sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Nistelrooy yang meledak gol ke-23 peribadinya musim ini sebelum Najmudin Akmal Kamal Akmal menambah jaringan kedua pada minit ke-15.

JDT II membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Nistelrooy yang meledak gol ke-23 peribadinya musim ini.
Gol ketiga hadir daripada Morales pada minit ke-22 sebelum Najmudin kembali mencetak nama selaku penjaring untuk membawa tuan rumah mendahului 4-0 di babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, JDT II terus berpesta apabila Najmudin melengkapkan hatrik pada minit ke-50, disusuli gol kedua Morales minit ke-60 dan gol ketujuh oleh Nistelrooy menerusi sepakan penalti pada minit ke-66 selepas pengadil Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan itu kepada tuan rumah.
Penang II yang dibimbing Akmal Rizal Ahmad Rakhli gagal menampilkan aksi bertenaga seperti dalam kemenangan ke atas KL City FC tempoh hari, apatah lagi apabila penjaring gol kemenangan mereka, Alif Ikmalrizal Anuar sekadar memanaskan bangku simpanan.
Dengan kemenangan ini, JDT II mengakhiri musim dengan kutipan 53 mata cukup untuk bergelar juara selepas saingan sengit sepanjang musim.
Kejayaan itu pastinya menjadi tonik terbaik untuk skuad muda Harimau Selatan bagi musim mendatang, sekali gus membuktikan dominasi berterusan mereka dalam arena bola sepak negara.