PENYOKONG Manchester United berdepan saat cemas apabila diserang oleh kumpulan penyokong tegar Fenerbahce sebelum perlawanan Liga Europa yang berlangsung pada Jumaat.
Beberapa penyokong Fenerbahce dikatakan telah mengganas dengan menyerang sekumpulan penyokong United yang tiba di Istanbul untuk menyokong pasukan mereka.
Insiden itu berlaku di luar Grand Hisar Hotel, yang menjadi lokasi utama bagi para penyokong United berkumpul sebelum perlawanan.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan penyokong ultra Fenerbahce melancarkan serangan terhadap penyokong United, yang mengakibatkan beberapa cedera dalam pergelutan tersebut.
Akaun yang dipercayai dari kumpulan ultra Fenerbahce di aplikasi X, dikenali sebagai GFB Bogaz Hooligans, telah memuat naik video berdurasi 26 saat menunjukkan kekecohan itu dengan kapsyen “Ini adalah ISTANBUL!”
Meskipun terpalit insiden serangan terhadap penyokong United sebelum perlawanan, kedua-dua pasukan berjaya mengharungi 90 minit permainan dengan persembahan yang seimbang.
Pertembungan antara Manchester United dan Fenerbahce berakhir dengan keputusan seri 1-1, sekaligus menamatkan malam penuh drama di Istanbul.