Kredit Gambar: X HRH Crown Prince of Johor

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay selepas dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Ucapan berkenaan disampaikan Tunku Mahkota Ismail menerusi satu hantaran ringkas di laman X, selain memuat naik gambar bersama bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu.

“Saya ucapkan tahniah kepada Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay atas pelantikan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” titah baginda.

Pelantikan Ayob Khan diumumkan FAM selepas Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Beliau akan mengetuai Jawatankuasa Integriti bagi baki penggal 2025-2029, manakala Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden FAM yang baharu, Datuk Ab Ghani Hassan dan turut dihadiri sembilan lagi Ahli Jawatankuasa Eksekutif yang dipilih pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 di Hilton Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Pelantikan Ayob Khan menjadi antara keputusan penting dalam mesyuarat pertama yang dipengerusikan Ab Ghani selepas menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Dalam mesyuarat sama, Ab Ghani turut mengumumkan barisan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM untuk baki penggal 2025-2029.

Langkah berkenaan melengkapkan struktur baharu pentadbiran FAM, dengan pelbagai jawatankuasa kini mula diperkemaskan bagi menggerakkan tugas pengurusan serta pembangunan bola sepak negara sepanjang baki tempoh penggal.