Kredit Gambar: Oli Scarff/AFP
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meneruskan langkah ke suku akhir berbasikal trek acara pecut individu lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, manakala Shah Firdaus Sahrom terpaksa menamatkan cabaran lebih awal.
Beraksi di Velodrom Izu, Shizuoka, Azizulhasni terlebih dahulu menewaskan wakil India, David Beckham Elkatohchoongo pada pusingan pertama sebelum menyingkirkan pelumba Kazakhstan, Kirill Kurdidi dalam pusingan kedua.
Kemenangan itu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu berkenaan menempah pertemuan dengan wakil tuan rumah, Kanata Takahashi, pada aksi suku akhir esok bagi memburu tiket ke separuh akhir.
Azizulhasni turut mempamerkan kayuhan bertenaga sejak sesi kelayakan apabila merekodkan 9.467 saat untuk muncul pelumba ketiga terpantas keseluruhan.
Catatan itu hanya 0.065 saat di belakang rekod kebangsaan miliknya iaitu 9.402 saat yang dilakukan pada Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus memberi gambaran positif menjelang saingan kalah mati.
Bagi Shah Firdaus, pelumba berusia 29 tahun itu menamatkan sesi kelayakan di kedudukan kesembilan dengan masa 9.850 saat sebelum tewas kepada pelumba Taiwan, Kang Shih-feng pada pusingan pertama.
Shah Firdaus bagaimanapun enggan mengalah apabila menggunakan laluan repechage untuk kembali ke saingan selepas menewaskan wakil Thailand, Norasetthada Bunma, namun menerima amaran kerana gagal mengekalkan laluan perlumbaan.
Pelumba negara itu kemudian tewas kepada wakil China, Xie Han dalam pusingan kedua sebelum cabarannya berakhir apabila menduduki tempat ketiga dalam repechage, di belakang Kang Shih-feng dan pelumba Hong Kong, To Cheuk Hei.
Kini, harapan Malaysia dalam acara pecut individu lelaki terarah kepada Azizulhasni yang akan cuba meneruskan kemaraan dalam pertemuan menentang Takahashi untuk memburu slot ke separuh akhir.