SKUAD Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia menamatkan saingan di peringkat separuh akhir selepas tewas kepada Myanmar pada acara Esports Asian Games 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Perjalanan skuad MLBB Malaysia di Aichi-Nagoya dimulakan dengan menjuarai pusingan kumpulan sebelum menewaskan Jordan di suku akhir.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal mara ke pentas Grand Final namun skuad negara tetap membawa pulang pingat gangsa selepas mengakhiri kempen di tempat ketiga.
Lebih istimewa, pingat tersebut menjadi pingat gangsa pertama bagi acara MLBB yang dipertandingkan di pentas Asian Games sekali gus mencipta sejarah baharu buat arena esports Malaysia.
Walaupun terlepas peluang untuk memburu emas, pencapaian tersebut tetap cukup bermakna buat pasukan negara yang berjaya mengharumkan nama negara di salah satu pentas sukan terbesar Asia.
Syabas pasukan MLBB negara atas perjuangan dan komitmen dalam membawa nama Malaysia di pentas Asian Games 2026.
Sumber Gambar: Instagram MPL MY