PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu semua pihak termasuk dirinya belajar sesuatu daripada kegagalan di Piala Malaysia sebagai misi untuk menjadikan Gergasi Merah sebagai pasukan yang lebih baik pada masa akan.
Selangor tewas 1-2 kepada Sri Pahang dan tersingkir daripada saingan Piala Malaysia dengan aggregat 2-3 sekaligus bakal bersaing dalam Piala Cabaran, sesuatu yang asing buat para penyokong.
Ini adalah kekalahan kedua jurulatih kelahiran Jepun itu selepas dikecewakan Muangthong United dalam Liga Juara-Juara AFC 2 yang menyaksikan Selangor perlu menempuh laluan sukar ke peringkat seterusnya.
“Sebelum hadir ke sini saya sedar akan jadual yang padat tetapi kami telah melakukan persiapan dengan baik selepas kalah kepada Muangthong United tetapi malangnya kami tewas kepada dua gol hasil keputusan VAR.
“Namun begitu, VAR juga adalah sebahagian daripada permainan dan kita tidak boleh mengatakan pengadil itu pengadil ini tetapi perlu belajar dari kekalahan perlawanan ini dan fokus pada aksi seterusnya.
“Misi saya adalah untuk jadikan Selangor lebih kuat dan akan gunakan permainan ini untuk membina sesuatu yang lebih baik. Saya baru seminggu di sini dan pelbagai lagi keadaan bakal dihadapi dan kini adalah masa yang genting tetapi kami perlukan sokongan terus dari penyokong,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Selangor kini bakal bersaing dalam Piala Cabaran dan Kinoshi melihat ini adalah peluang buat Selangor untuk beraksi lebih baik namun dia mahu fokus dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain.
“Tidak kira piala apa pun, setiap perlawanan misinya adalah sama iaitu untuk menang kerana saya beritahu pemain kita perlu ada ‘Selangor Style’ iaitu tidak mudah mengalah dan pastikan kita menang semua perlawanan yang kita tandingi,” jelasnya.
Gergasi Merah diundi bertemu Kelantan Darul Naim FC di suku akhir Piala Cabaran namun tumpuan kini diletakkan terlebih dahulu kepada aksi bertemu Dynamic Herb Cebu untuk aksi terakhir Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 pada Khamis di Manila.