Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berpandangan Johor berpotensi menjadi tuan rumah kejohanan sebesar Piala Dunia pada masa depan sekiranya pembangunan infrastruktur sukan terus diperkasakan.

Bagaimanapun, Pemangku Sultan Johor itu menegaskan Malaysia secara keseluruhannya masih belum berada pada tahap yang sesuai untuk bercakap mengenai penganjuran kejohanan bola sepak terbesar dunia itu.

Menurut baginda, Johor mempunyai asas kukuh dari sudut ekonomi serta fasiliti sukan yang baik, termasuk stadium moden bertaraf antarabangsa yang mampu menjadi pemangkin kepada cita-cita lebih besar pada masa depan.

“Kemungkinan untuk anjur Piala Dunia di Johor itu ada, insya-Allah. Dengan kekuatan ekonomi yang ada, kita boleh terus memperbaiki stadium-stadium.

“Tetapi buat masa ini, saya rasa kita masih belum berada di tahap itu,” titah baginda.

Tunku Ismail turut menekankan bahawa isu asas seperti kualiti padang dan penyelenggaraan stadium masih menjadi cabaran utama yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Menurut baginda, sukar untuk bercakap mengenai penganjuran Piala Dunia sekiranya perkara asas berkaitan kemudahan sukan masih gagal dipenuhi mengikut piawaian yang sepatutnya.

“Kalau untuk Malaysia secara keseluruhan, saya boleh katakan lupakan sahaja.

“Kalau perkara asas seperti penukaran rumput pun mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan, sukar untuk kita bercakap tentang menjadi tuan rumah Piala Dunia,” titah baginda.

Kenyataan itu dibuat ketika sesi soal jawab dalam program Orang Muda Johor yang berlangsung di Muar, pada Sabtu lepas.

Titah baginda hadir sebagai respons terhadap persoalan mengenai kemampuan sesebuah wilayah kecil seperti Qatar yang berjaya menganjurkan Piala Dunia 2022 dengan cemerlang.

Dalam masa sama, baginda percaya Johor masih mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab sukan bertaraf dunia sekiranya pembangunan fasiliti, stadium dan infrastruktur terus diberikan keutamaan.

Usaha berterusan dalam meningkatkan standard kemudahan sukan dilihat penting bagi memastikan Johor mampu memenuhi keperluan serta piawaian antarabangsa untuk menganjurkan acara sukan berprestij pada masa hadapan.

Kredit Gambar: Facebook/HRH Crown Prince of Johor