FOTO : SFC

SELANGOR FC telah memulakan kempen pramusim mereka dengan langkah mantap di Thailand apabila berjaya membelasah pasukan Samut Prakan City dengan keputusan selesa 6-0.

Kemenangan ini merupakan langkah positif bagi pasukan kendalian Nidzam Jamil dalam persiapan menghadapi cabaran yang lebih besar pada musim baru Liga Super musim 2024/25 yang bakal bermula pada bulan Mei ini.

Pada perlawanan tersebut, seperti dikongsikan oleh Facebook Selangor Soccer Fan Club (SSFC), skuad Merah Kuning menunjukkan prestasi yang cemerlang dengan menjaringkan gol menerusi Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal (dua gol).

Samut Prakan City, yang beraksi dalam saingan Thai League 2, dilihat sukar menyaingi kekuatan Selangor FC, terutamanya ketika pasukan Merah Kuning itu mengambil keputusan untuk menukar dua barisan pemain dalam setiap separuh masa perlawanan.

Tiga lagi jaringan digegarkan oleh sayap skuad kebangsaan, Faisal Halim sebelum penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez mencetak nama selaku penjaring (dua gol).

Selain dari aspek permainan, kempen pramusim juga memberi peluang kepada jurulatih dan pemain untuk mengukur tahap kecergasan serta menyesuaikan taktik yang sesuai bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan terbaik sebelum memasuki saingan liga yang lebih kompetitif.

Bagi Selangor FC, kemenangan ini bukan hanya menambah keyakinan tetapi juga memberi petunjuk positif bahawa persiapan pramusim yang teliti sedang membawa hasil yang diharapkan.

Diharapkan pasukan ini dapat mengekalkan momentum positif ini sepanjang kempen aksi persahabatan dan membawanya ke dalam saingan liga yang lebih mencabar pada musim baru.