AKSI suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MBPJ bertukar menjadi pentas dominasi mutlak Selangor FC apabila mereka membelasah Negeri Sembilan FC untuk mara ke separuh akhir dengan penuh bergaya.
Berbekalkan kelebihan satu gol dari perlawanan pertama di Paroi, skuad kendalian Kim Pan-gon tidak menunggu lama untuk mengukuhkan kedudukan apabila Faisal Halim meletakkan Selangor di hadapan seawal minit kedua menerusi rembatan leret yang menewaskan penjaga gol lawan.
Selangor terus mengasak kubu Negeri Sembilan dengan Chrigor Moraes hampir menggandakan kedudukan pada minit kesembilan, namun jaringan itu dibatalkan VAR kerana ofsaid, sebelum Faisal hampir menambah gol pada minit ke-16 tetapi percubaannya sekadar mengenai tiang.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-23 apabila Alvin Fortes menyempurnakan hantaran Chrigor Moraes untuk menjadikan kedudukan 2-0, diikuti rembatan padu Nooa Laine dari luar kotak penalti pada minit ke-30 yang terus menggegar gawang lawan.
Selangor hampir menambah gol menerusi Faisal pada minit ke-38, namun sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid, sebelum Quentin Cheng melengkapkan pesta gol tuan rumah menjelang rehat, menyaksikan Selangor mendahului 4-0 dan agregat 5-0.
Bersambung babak kedua, penderitaan Negeri Sembilan berterusan apabila Chrigor Moraes menanduk masuk sepakan percuma pada minit ke-62, manakala benteng mereka terus rapuh dan gagal menyaingi intensiti permainan Selangor.
Negeri Sembilan akhirnya memperoleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Jovan Motika, selepas pemain mereka dijatuhkan, namun ia tidak mampu mengubah nasib pasukan yang sebelum itu turut dibolosi akibat kesilapan Aqil Abd Razak.
Perlawanan berakhir dengan kemenangan agregat 6-1 buat Selangor, sekali gus mengesahkan pertemuan separuh akhir menentang Kuching City FC dalam misi memburu kejuaraan musim ini.