Foto: FB Shahidan Kassim

MENTERI Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kembali memimpin Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas 10 tahun apabila menewaskan penyandang Presiden Datuk SM Muthu dengan perbezaan empat undian.

Pemilihan bagi penggal 2022-2025 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Ahad menyaksikan Shahidan menerima 20 undi berbanding Muthu mendapat 16 undi manakala satu lagi calon Nur Hayati Karim menarik diri.

Shahidan yang juga Presiden Persatuan Olahraga Perlis (POAPs) memegang jawatan nombor satu KOM dari tahun 2006 hingga 2012, namun tewas kepada Datuk Zainal Abidin Ahmad ketika pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Manakala Muthu berjaya menduduki kerusi itu selepas menewaskan Karim Ibrahim pada pemilihan bagi 2019-2022.

 

“Prestasi yang cemerlang dah pamerkan dalam (Persatuan) Renang Malaysia,  jadi untuk olahraga bagi peluang dulu. Saya akan buktikan dulu, yang paling dekat Sukan SEA Kemboja Mei depan,” jelasnya.

Perebutan bagi kerusi Timbalan Presiden menyaksikan Datuk Fadzil Abu Bakar dan Datuk Seri V. Pulanthiran terikat apabila masing-masing menerima 18 undi, namun Fadzil dianggap pemenang selepas mendapat undi daripada pengerusi mensyuarat.

Penyandang Datuk Muntaz Jaafar tidak dapat mempertahankan jawatan itu selepas badan induk negerinya iaitu Persatuan Olahraga Selangor dibatalkan Pesuruhjaya Sukan sebelum ini.

Bagi empat jawatan Naib Presiden pula, dua penyandang iaitu Josephine Kang dengan 35 undian dan Datuk Mark William Ling (23) berjaya mempertahankan kerusi itu, Sallehuddin Satar (31) dan Syamsul Bani Abdullah (29) menjadi muka baharu manakala penyandang Datuk R. Annamalai tewas dengan memperoleh 22 undi. -Bernama