KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menarik nafas lega apabila KL City berjaya melalui detik cemas sebelum menang 3-2 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Bojan menyatakan barisan pemainnya bermain baik dan berjaya mendahului 3-0 pada 70 minit permainan tetapi selepas itu mula keletihan dan Penang FC berjaya mengambil kesempatan itu untuk merapatkan jurang.

Dia juga mengakui barisan pertahanannya mempunyai masalah dan akan memperbaiki perkara ini bagi mengekalkan mereka mudah dibolosi walaupun bahagian serangan dilihat lebih tajam dalam menjaringkan gol.

Ditanya sama ada KL City akan mengambil pemain baharu pada jendela perpindahan kedua nanti, jurulatih dari Croatia itu berkata dia perlu berbincang dengan pihak pengurusan kerana pasukan KL City adalah pasukan dengan bajet terendah dalam Liga Super.

“Kami bermain baik dan mendahului 3-0 pada 70 minit pertama dan selepas itu kami mula merasai keletihan dari permainan tiga hari sebelum ini dan Penang yang lebih segar kerana tidak beraksi berjaya mengambil kesempatan.

Bojan Hodak

“Bahagian tengah kami mula kehilangan bentuk akibat keletihan dan kami mula melakukan kesilapan terutama kesilapan individu dan perkara ini yang perlu diatasi segera.

“Kami juga perlu mengurangkan detik gila di bahagian pertahanan walaupun kami tidak mempunyai masalah menjaringkan gol,” kata Hodak kepada media selepas perlawanan.

Tambah Hodak, jendela perpindahan sering dikaitkan dengan kedudukan kewangan.

“Saya boleh membawa pemain tetapi segalanya bergantung kepada bajet dan saya serahkan kepada pengurusan untuk bercakap tentang perkara ini.

“Pasukan ini mempunyai ramai pemain yang boleh bermain di pelbagai posisi seperti Irfan Zakaria dan Kenny Palraj serta kami mempunyai pemain-pemain muda yang sedia diturunkan untuk mendapatkan minit permainan cuma kami perlu lakukan dengan teliti kerana mereka masih kekurangan pengalaman,” katanya.

Kuala Lumpur City FC kini akan berhadapan Sarawak United di Kuching minggu hadapan dan kemenangan ini pastinya mengembalikan semula keyakinan para pemain untuk terus mengutip tiga mata.