Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia meneliti permohonan tambahan peruntukan berjumlah RM1 juta setahun yang dikemukakan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bagi memperkukuh pembangunan sukan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kerajaan ketika ini telah menyalurkan RM4.1 juta kepada program pembangunan angkat berat sepanjang tahun ini, meliputi pembangunan atlet, jurulatih serta pelaksanaan program seperti Road to Gold (RTG), Program Podium, Program Pelapis dan pembangunan akar umbi.

Menurut beliau, kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut bersama PABM bagi menilai keperluan sebenar tambahan dana yang dimohon, termasuk isu melibatkan kos operasi dan kebajikan jurulatih.

“Saya telah menghubungi Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat serta beberapa pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci mengenai permohonan itu. Kita mahu memahami keperluan sebenar sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Angkat berat berpotensi menjadi antara sukan yang mampu menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik, justeru kita perlu melihat pembangunan sukan ini secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan kontinjen Malaysia daripada Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Dr Mohammed Taufiq turut memberi bayangan bahawa angkat berat bakal menerima perhatian lebih besar daripada KBS selepas kejayaan cemerlang sukan itu di Glasgow.

“Insya-Allah, angkat berat akan menjadi antara sukan yang kita beri fokus. Kita akan mengadakan perbincangan lanjut bagi melihat bentuk bantuan tambahan yang diperlukan untuk memastikan momentum kecemerlangan ini dapat diteruskan,” katanya.

Selain peruntukan tambahan, beliau turut memberi komitmen untuk meneliti isu kebajikan jurulatih di peringkat negeri yang berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan kesinambungan prestasi atlet negara.

Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan pembangunan sukan angkat berat terus berada di landasan yang tepat.

“Ini antara perkara yang perlu diselesaikan segera. Kita melihat angkat berat sebagai sukan masa depan yang mampu menghadiahkan kejayaan besar kepada negara, jadi aspek kebajikan jurulatih juga perlu diberi perhatian oleh kementerian dan persatuan,” katanya.

Ketika ini, dua atlet angkat berat berada di bawah program RTG, lapan lagi dalam Program Podium dan dua atlet berada dalam Program Pelapis.

Pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, skuad angkat berat muncul penyumbang terbesar pingat buat Malaysia apabila menghadiahkan lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekali gus memainkan peranan penting membantu kontinjen negara menamatkan temasya dengan kutipan keseluruhan lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.