KEDAH Darul Aman FC mengambil langkah dengan memberikan akses percuma bagi saingan Piala FA dan Piala Malaysia kepada pemegang pas bermusim KDA FC.

Pengurusan pasukan itu mengambil langkah tersebut selepas melihat penjualan pas bermusim kepada penyokong Sang Kenari masih lagi tidak memberangsangkan.

Sebelum itu, pihak pengurusan Kedah telah menawarkan pas bermusim kepada penyokong disamping penstrukturan semula harga tiket perlawanan dengan bertujuan untuk mengalakkan pembelian pas bermusim.

Manfaat pas bermusim sebelum ini ialah hanya mempunyai akses percuma ke Stadium Darul Aman dalam saingan Liga Super serta mendapat keistemewaan diskaun pembelian merchandise KDA serta tempahan pembelian tiket awal, jersi pasukan dan banyak lagi.

Manfaat menerusi pas bermusim KDA sebelum ini sedikit sebanyak para penyokong dapat menikmati penjimatan sehingga 40 peratus dari jumlah keseluruhan tiket.

Sungguhpun itu, seramai 305 orang penyokong yang memiliki kad bermusim KDA. Jumlah itu masih lagi rendah dan jauh daripada sasaran awal yang ditetapkan oleh pihak pengurusan iaitu pemilikan sebanyak 5,000 pas bermusim.

Dalam misi bagi meningkatkan lagi jumlah itu, pihak pengurusan Sang Kenari bersetuju untuk meluaskan lagi manfaat pas bermusim kepada semua saingan domestik yang diadakan di Stadium Darul Aman.

Manfaat daripada penawaran baru pas bermusim ini, penyokong KDA akan menikmati diskaun sebanyak 50 hingga 60 peratus dari nilai sebenar tiket.

Ini sekali gus dapat memastikan kelab itu dapat menjana pendapatan seterusnya memastikan kelangsungan perjalanan kelab dari utara musim ini.