
Sentuhan klinikal Sardor Kulmatov bantu TFC catat kemenangan sulung

TERENGGANU FC (TFC) bijak mengambil kesempatan kekurangan seorang pemain PDRM FC yang dibuang padang untuk meraih kemenangan sulung dengan menang tipis 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Sabtu.
Penjaga gawang PDRM, Ramadhan Ab Hamid dilayangkan kad merah setelah mengasari Jordan Mintah diluar kotak penalti lawan pada penghujung babak pertama.
Dalam aksi itu, ketua jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner terus memberi kepercayaan kepada Adisak Kraison yang bergandingan bersama penyerang yang pernah dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC, Mintah.
Wisel permulaan malam ini menunjukkan pasukan Terengganu lebih agresif apabila tampil garang menerusi percubaan Habib Haroon dan Sony Norde namun tersasar.

Kesebelasan utama pasukan Terengganu yang beraksi malam ini.
Seterusnya giliran pelawat cuba mencuri peluang daripada pasukan TFC dengan peluang Arif Anwar, namun memilih merembat dari jarak jauh dan tersasar m-27.
Kedua-dua pasukan cuba mengatur bagi mencari jaringan untuk separuh masa pertama namun gagal dengan keputusan seri 0-0.
LIGA SUPER 2023
FT : Terengganu FC 1-0 PDRM FC
⚽ Sardor Kulmatov 76'#LigaSuper2023#PetehGanuPeteh#SangSakaBiru pic.twitter.com/kX66oClRxC
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 11, 2023
Memasuki separuh masa kedua pasukan Terengganu membuat pertukaran untuk menjadikan permainan lebih segar memasukkan Faiz Nasir dan Damagoj Pusic. Gol yang dicari-cari tuan rumah menjelma apabila sentuhan klinikal pemain pertahanan Sardor Kulmatov membuka akaun pertama jaringan skuad Penyu di Liga Super musim ini pada m-76.
Peluang demi peluang yang diperoleh oleh pasukan Terengganu selepas itu namun kesemuanya gagal menambah gol dan keputusan penuh ini memaksa pasukan PDRM gigit jari.
Selepas empat perlawanan, Terengganu melonjak ke tangga keenam liga dan bakal berkunjung ke Paroi berdepan Negeri Sembilan FC pada Khamis.