PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi menganggap empat piala yang dimenanginya musim ini adalah rezeki kurniaan Tuhan dan dia bersyukur kerana menjadi sebahagian daripada keluarga JDT dibawah pimpinan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Syihan yang berhijrah dari Negeri Sembilan FC berjaya merangkul kesemua empat trofi domestik yang dipertandingkan dalam musim pertamanya bersama Harimau Selatan ‐ Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super, mengawal kemas gawang JDT yang hanya dibolosi tujuh kali dalam saingan Liga Super 2023.
“Syukur kepada Yang Maha Esa atas kurniaan rezeki ini dan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor yang banyak memberikan dorongan dan sokongan kepada saya sepanjang saya berada di kelab ini.
“Perancangan saya untuk musim hadapan adalah meletakkan sasaran yang lebih tinggi tetapi perlu diambil selangkah demi selangkah untuk menjadi pemain dan pasukan yang lebih baik,” katanya kepada ketika Sambutan Decade of Dominance JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Syihan dan barisan pertahanan JDT membentuk benteng yang kukuh musim ini apabila hanya dibolosi tujuh kali dalam 26 perlawanan Liga Super sekali gus muncul juara liga buat kali ke-10 berturut-turut.
Kecemerlangan Syihan di gawang JDT juga memastikan dia kini memegang posisi benteng terakhir skuad kebangsaan dan dia sudah bersedia sekiranya dipanggil Kim Pan-gon untuk persiapan ke Piala Asia di Doha, Qatar pada Januari.