SEMINGGU menjelang aksi separuh akhir zon Asean Piala AFC, persembahan dua wakil negara ke kejohanan itu, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC mengundang resah dan dilihat sedikit membimbangkan terutama pada aksi mereka di Liga Super.

Kedah DA terutamanya yang dilihat paling membimbangkan dari segi prestasi hingga para penyokong sudah mula meluahkan rasa tidak puas hati dan meminta pengurusan kelab untuk melakukan sesuatu sebelum perlawanan separuh akhir nanti.

Selepas kejayaan layak ke peringkat separuh akhir zon Asean, Kedah hanya mampu menang satu perlawanan liga manakala tewas empat kali termasuk tersingkir dari kejohanan Piala FA.

Apa yang lebih membimbangkan adalah Sang Kenari hanya mampu menjaringkan lima gol sahaja sejak membelasah Visakha FC 5-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFC.

Pastinya sesuatu perlu dilakukan Aidil Sharin Sahak untuk menaikkan semula moral para pemainnya kerana apa yang ditawarkan di kejohanan benua ini cukup lumayan dan dapat menantu menambah mata MA buat Malaysia.

Perkara yang sama turut melanda kem Kuala Lumpur City FC yang kini bergelut untuk mengatasi masalah kecederaan dan kecergasan para pemain sebelum berlepas ke Ho Chi Minh City.

Moral pemain agak terjejas selepas mengalami kekalahan teruk 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim dan Bojan Hodak pastinya akan menggunakan segala pengalaman yang ada padanya untuk mengembalikan keyakinan para pemainnya.

Rekod KL City di Liga Super tidak seteruk Kedah apabila berjaya mencatat satu kemenangan dan dua seri serta satu kekalahan dan kini berada di tangga keempat liga tetapi seperti Kedah juga, sudah tersingkir daripada saingan Piala FA.

Lawan Kedah di separuh akhir nanti, PSM Makassar sedang dalam prestasi terbaik apabila memenangi dua perlawanan awal termasuk menewaskan juara musim lalu, Bali United dan kini di tangga ketiga Liga 1 Indonesia.

Viettel FC, lawan KL City nanti kini ditangga ketujuh Liga 1 Vietnam selepas mencatat hanya dua kemenangan dan mengalami tiga kekalahan dalam lima perlawanan selepas berakhir aksi peringkat kumpulan.

Pastinya aksi yang menarik bakal ditunjukkan oleh keempat-empat pasukan tetapi tumpuan kita hanya terarah kepada Kedah dan KL City yang diharap dapat menambahkan lagi mata MA Malaysia di peringkat Asia.