LANGKAH Man Wei Chong-Tee Kai Wun di Kejohanan Dunia terhenti selepas tunduk kepada beregu nombor satu dunia Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, 21-23, 23-21, 15-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama 69 minit.

Pasangan negara bermula cemerlang dengan memberikan tentangan sengit di set pertama sebelum akur 21-23 walaupun berpeluang menamatkan permainan lebih awal.

Mereka bagaimanapun bangkit penuh semangat untuk mengikat kedudukan selepas meraih kemenangan 23-21 pada set kedua.

Namun segalanya berubah di set penentuan apabila rentak permainan mula perlahan dan memberi ruang kepada lawan untuk menguasai gelanggang sepenuhnya.

“Kami terlalu perlahan di set ketiga jadi ia menyukarkan keadaan, saya rasa tempo kami jatuh dan gagal menyaingi rentak laju mereka,” kata Wei Chong yang mengakui kelemahan itu menjadi titik tolak kekalahan.

Sementara itu, Kai Wun mengakui mereka tidak cukup konsisten pada saat-saat genting hingga memberi peluang lawan meraih mata mudah.

“Pada set ketiga kami tidak cukup bagus dalam pukulan sendiri dan itu membolehkan mereka ambil mata penting,” kata Kai Wun yang tetap berbangga dapat mengheret pasangan nombor satu dunia itu ke rubber set.

Kekalahan menyaksikan tiada beregu lelaki negara di separuh akhir hari ini, selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut tersingkir apabila tunduk 12-21, 19-21 kepada pemain India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.