SEVILLA keluar sebagai juara selepas menang menerusi penalti dengan keputusan 4-1 (1-1) ke atas AS Roma pada final Liga Europa di Puskas Arena, Budapest, Hungary, awal pagi Khamis.

Keputusan ini menjadikan Sevilla memenangi gelaran ketujuh dalam Liga Europa. Los Nervionenses sebelum ini memenangi musim 2005/2006, 2006/2007, 2013/2014, 2014/2015, 2015/2016 dan 2019/2020.

Roma mendapat peluang pertama untuk mendahului pada minit ke-12. Hantaran Zeki Celik dalam kotak penalti disambut oleh rembatan first timer Leonardo Spinazzola yang disasarkan ke gawang tetapi ditepis Bono.

Pertarungan antara kedua-dua pasukan terus berlangsung sengit selepas peluang daripada Spinazzola. Permainan ini kebanyakannya berkisar di bahagian tengah antara kedua-dua pasukan dan mempunyai sedikit peluang untuk mengancam gol kedua-dua pasukan.

Kebuntuan dalam perlawanan ini akhirnya dipecahkan pada minit ke-35. Umpanan Gianluca Mancini tidak disia-siakan oleh Paulo Dybala untuk menggegarkan gawang Bono dan menukar kedudukan kepada 1-0.

Sevilla menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-55. Kesilapan Mancini menjangka ketika cuba menyekat bola lintang Jesus Navas sebenarnya membuatkan bola itu menuju ke gawang sendiri tanpa dapat dikeluarkan oleh Rui Patricio.

Roma mendapat peluang untuk di depan 11 minit kemudian. Penyerang I Lupi, Tammy Abraham melepaskan rembatan dari dalam kotak penalti mengambil kesempatan daripada kekalutan kotak penalti Sevilla.

Sevilla dihadiahkan penalti pada pertengahan separuh masa kedua. Pengadil Anthony Taylor menghadiahkan penalti selepas Ibanez dikatakan telah melanggar Lucas Ocampos.

Bagaimanapun, pengadil membatalkan keputusannya selepas melihat siaran  Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana Ocampos terjatuh walaupun ada sentuhan minima dilakukan Ibanez.

Gaya unik Lucas Ocampos yang menjaringkan gol penalti tanpa melihat bola.

Roma mendapat peluang keemasan untuk kembali mendahului pada minit ke-83. Umpanan Lorenzo Pellegrini dilorongkan kepada Andrea Belotti namun rembatannya sekadar sipi di sebelah kanan gawang Sevilla.

Sevilla dan Roma tidak dapat menambah gol berbeza dalam waktu sebenar dan perlawanan berlarutan ke masa tambahan.

Kegagalan kedua-dua pasukan menyumbat gol diperlukan menjadikan perlawanan itu terpaksa ditentukan dengan penalti. Dalam penentuan sepakan itu, Sevilla menewaskan Roma 4-1 untuk memenangi Liga Europa.

Kesemua penyepak Sevilla iaitu Ocampos, Erik Lamela, Ivan Rakitic dan Gonzalo Montiel berjaya menjalankan tugas masing-masing. Manakala di kem AS Roma, hanya Bryan Cristante yang berjaya manakala Gianluca Mancini serta Roger Ibanez gagal.

Gianluca Mancini gagal menyempurnakan tendangan penalti kedua untuk Roma.

Barisan pemain
Sevilla (4-2-3-1): Yassine Bono; Jesus Navas, Loic Bade, Nemanja Gudelj, Alex Telles; Fernando, Ivan Rakitic; Lucas Ocampos, Oliver Torres, Bryan Gil; Youssef En-Nesyri

AS Roma (3-4-2-1): Rui Patricio; Roger Ibanez, Gianluca Mancini, Chris Smalling; Zeki Celik, Bryan Cristante, Nemanja Matic, Leonardo Spinazzola; Lorenzo Pellegrini, Paulo Dybala; Tammy Abraham