PEMAIN badminton profesional negara, Lee Zii Jia tidak perlu bimbang untuk pembiayaan menyertai kejohanan antarabangsa kerana permintaannya itu akan dipertimbangkan oleh pihak Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

Chef de Mission (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berkata perkara itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama jawatankuasa RTG akan datang .

Jawatankuasa program itu turut bakal menyelaraskan segala permintaan lain yang dibuat pemain-pemain dalam mesyuarat berkenaan.

“Kita akan selaraskan dalam mesyuarat RTG yang kita atur, saya rasa permintaan Lee Zii Jia sama dengan pemain lain dan ianya memadai kerana itu bukanlah permintaan tetapi lebih kepada sokongan buat mereka.

“Perkara ini akan diputuskan dalam mesyuarat RTG dan kita akan umumkan apa yang diminta sama juga dengan pemain lain yang berada di bawah program ini,” katanya pada sidang media selepas pertemuan bersama pemain badminton perseorangan lelaki sensasi negara Zii Jia di ibu negara pada Rabu.

Hamidin yang juga presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata semua pemain yang berada di bawah program RTG bakal menerima layanan sama rata sebagai memastikan prestasi mereka dipertingkatkan dalam usaha meraih pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia.

Zii Jia dan Hamidin sebelum itu telah mengadakan satu pertemuan untuk membincangkan lebih lanjut mengenai persediaan dia untuk menghadapi sirkut badminton akan datang dan juga persiapannya untuk program RTG selain makan malam yang turut dihadiri pengurus yang juga kakaknya, Lee Zii Yii.