PUTERI karate negara, C. Shahmalarani bukan sekadar mencipta sejarah di Kaherah, malah mengirim isyarat awal bahawa emas Sukan SEA masih berada dalam genggamannya.
Di sebalik sorakan kejayaan pingat perak dunia semalam yang menamatkan penantian sejak 2014 itu, jurulatih negara, R Sharmendran, mengingatkan bahawa perjalanan sebenar hanya bermula sekarang.
Sharmendran menegaskan kejayaan di Kejohanan Dunia bukan penamat, sebaliknya pembuka jalan untuk misi lebih besar di Bangkok pada 9 Disember ini.

R Sharmendran kini bergelar ketua jurulatih karate negara. Gambar dirakam ketika beliau bersama H Sureeya Sankar meraikan kemenangan emas di Sukan SEA Kemboja, 2 tahun lalu.
“Saya gembira tetapi misi kami untuk tahun ini masih belum selesai, sambutan kejohanan dunia hanya berakhir sebaik sahaja dia turun dari podium,” katanya yang mahu anak buahnya kembali fokus secepat mungkin.
“Malah esok kami akan kembali menjalani latihan di sini, di Kaherah, sebelum penerbangan kami pada sebelah petang, kini semua tumpuan terarah kepada Sukan SEA,” ujarnya yang tidak mahu skuad negara leka walau sesaat.

Shahmalarani dan skuad karate negara meraikan kemenangan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Sukan SEA ke-32, di Kemboja pada 2023.
Baginya, tonik terbaik itu hadir tepat pada masanya ketika Malaysia membawa misi mengembalikan dominasi dalam karate wanita Sukan SEA.
Shahmalarani yang tewas 1-6 kepada juara Asia, Gulshan Alimardanova dari Uzbekistan di final, tetap dianggap luar biasa selepas menjadi rakyat Malaysia pertama mara ke final kejohanan dunia sejak 2014.
Dengan prestasi semakin menyengat, Sharmendran percaya Shahmalarani kini berada pada landasan tepat untuk kembali menjadi senjata utama negara dalam mempertahankan emas Sukan SEA.