MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak berdepan sebarang masalah kewangan menjelang perpindahan ke ibu pejabat baharu di Bukit Jalil menerusi projek pembangunan Olympic House bernilai RM93 juta.

Presidennya, Tan Sri Norza Zakaria menegaskan, “Lembaran imbangan kewangan kami sihat, kami ada RM40 juta di bank dan setiap tahun menerima RM3 juta hingga RM5 juta hasil penajaan serta sokongan IOC.”

Beliau berkata, perpindahan itu merupakan sebahagian daripada pelan pemodenan organisasi tanpa perlu mengorbankan aset atau mengeluarkan wang tunai untuk pembinaan fasiliti baharu.

Tan Sri Norza Zakaria menjelaskan kedudukan kewanfan MOM dalam keadaan yang stabil.

“Kami dikritik kononnya ini bukan keputusan perniagaan yang bijak, tetapi kami tidak hilang apa-apa, sebaliknya dapat bangunan lebih baik di lokasi lebih strategik, bukan lagi terperangkap dalam kesesakan antara sekolah dan Petaling Street,” katanya, pada sidang media baru-baru ini.

Projek itu adalah hasil pertukaran tanah dengan MRCB di mana syarikat berkenaan akan mengambil alih Wisma MOM sedia ada dan membina Rumah Olimpik di tanah pajakan 30 tahun milik kerajaan.

“Kami boleh saja ambil RM20 juta atau RM30 juta, bina pejabat kecil di Balakong atau Bukit Beruntung dan simpan selebihnya, tapi adakah itu imej yang kami mahu tunjuk sebagai badan sukan tertinggi negara?” katanya lagi.

Rumah Olimpik yang dijangka siap penghujung 2027 akan turut menempatkan hotel, auditorium, ruang media dan pejabat lebih 32 persatuan sukan kebangsaan serta diselia jawatankuasa khas dipengerusikan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali.