DUA perseorangan wanita negara, K Letshanaa dan Wong Ling Ching, disasarkan untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Sasaran itu ditetapkan barisan kejurulatihan yang diketuai Iskandar Zulkarnain Zainuddin bagi melayakkan mereka beraksi di kejohanan lebih besar, khususnya Super 500 ke atas.
Iskandar berkata fasa awal musim penting untuk menilai prestasi sebelum perancangan kejohanan seterusnya dibuat.
“Untuk enam bulan pertama ini, sasaran kami jelas iaitu top 32 dunia,” katanya.

Wong Ling Ching mula menampakkan anjakan prestasi di bawah bimbingan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.
Letshanaa dan Ling Ching akan memulakan kempen 2026 di Masters Indonesia bermula Selasa ini.
Ketika ini, Letshanaa menghuni ranking ke-42 dunia manakala Ling Ching di kedudukan ke-43.
Iskandar optimis kedua-dua pemain memiliki potensi besar untuk melonjak ke tahap lebih tinggi.
“Cuma mereka perlu konsisten dan melalui proses pembangunan yang dirancang,” katanya.