PASUKAN Vietnam mencipta kejutan besar di Piala Asia B-23 2026 apabila menempah tiket ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi dramatik suku akhir di Stadium Putera Abdullah Al Faisal, awal pagi tadi.

Dianggap bukan pilihan, skuad kendalian Kim Sang-sik tampil berani apabila terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-33 menerusi Nguyen Le Phat, namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila UAE menyamakan kedudukan enam minit kemudian hasil jaringan Junior Ndiaye untuk mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Vietnam kembali di hadapan menerusi Nguyen Dinh Bac pada minit ke-62, sebelum Mansoor Saeed memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan dengan gol penyamaan pada minit ke-68.

Ketika perlawanan dilihat semakin memihak kepada UAE, Pham Min Phuc muncul wira Vietnam apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-101, sekali gus mengesahkan kejayaan bersejarah yang menyamai pencapaian terbaik Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo pada edisi 2018.

Kemenangan penuh emosi itu meletakkan Vietnam selangkah daripada pentas final, dengan skuad muda Golden Star Warriors kini menanti pemenang pertemuan antara Uzbekistan dan China sebagai lawan di peringkat separuh akhir.