KANDAS di suku akhir buat kali kedua berturut-turut musim ini, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun tetap optimis mempertahankan kejuaraan Masters Indonesia minggu hadapan.

Gandingan keenam dunia itu tersingkir di suku akhir Terbuka India selepas tewas kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang 15-21, 21-15, 19-21, semalam.

Sebelum itu, mereka turut terkandas di peringkat sama pada Terbuka Malaysia.

Wei Chong menganggap pencapaian suku akhir awal musim sebagai petanda positif.

“Kami mahu pergi lebih jauh dan berada di podium,” katanya, yqng bakal mengalihkan tumpuan ke Masters Indonesia.

Mengulas kekalahan itu, Wei Chong mengakui aspek pertahanan perlu diperkemaskan.

“Saya rasa pertahanan kami masih belum cukup konsisten,” katanya.

Tahun lalu, gandingan nombor 6 dunia itu menjuarai Masters Indonesia selepas mengatasi beregu tuan rumah, Fajar Alfian-Rian Ardianto.