YOUNG Tigers masih belum menerima jawapan daripada Belanda dan Belgium sama ada bersetuju atau tidak mengadakan perlawanan persahabatan bersama skuad remaja negara Ogos depan.
Ketua jurulatih Muhammad Amin Rahim berkata, dua kuasa hoki dunia itu masih membisu mengenai pelawaan Malaysia, yang akan mengadakan siri jelajah Eropah Ogos depan.
“Jelajah Eropah… selain Jerman yang sudah bersetuju untuk mengadakan dua perlawanan dengan skuad remaja negara, kita masih menunggu jawapan daripada Belgium dan Belanda.
“Sama ada dua pasukan ini bersetuju atau tidak, kita tetap akan melakukan perlawanan persahabatan jelajah Eropah ini sambil menunggu jawapan daripada pasukan lain.

Jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan, Muhammad Amin Rahim tidak gusar dengan persiapan skuad negara.
“Kita boleh minta pasukan Eropah lain seperti Perancis dan Great Britain. Team GB walaupun tidak layak ke Piala Dunia, mereka tetap memiliki pasukan yang bagus dan menjadi ujian terbaik untuk pemain kita,” kata Amin, sambil menyuarakan keyakinan bahawa pasukan Great Britain sentiasa bersedia untuk perlawanan persahabatan dengan skuad negara.
Beliau berkata, setakat ini, Jerman sudah mengesahkan untuk menghadapi skuad negara di Dusseldorf, Jerman, pada 24 dan 25 Ogos.
Siri jelajah Eropah itu dirancang sebagai persediaan buat skuad remaja lelaki negara menghadapi saingan Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur, Disember depan.
Selepas jelajah Eropah, skuad negara akan menghadapi saingan Piala Sultan Johor (SOJC), pada Oktober.
Ketika ini, pemain muda negara sedang menghadapi empat siri perlawanan persahabatan menentang kelab Western Australia yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.