FOTO: AFL

SJ Virtuosos FC dinobatkan juara Liga Bolasepak M5 Putrajaya 2023 selepas menewaskan Sungai Merab FC, 2-1 pada aksi terakhir saingan yang menyaksikan skuad berpengkalan di Subang Jaya itu mengumpul 21 mata untuk mengungguli liga dengan kelebihan satu mata berbanding Sungai Merab FC.

Terdahulu sebelum sepak mula berlangsung di Stadium Mini, Pancarona, Presint 18, Putrajaya, Sungai Merab FC memimpin liga 20 mata selepas lapan perlawanan berbanding SJ Virtuosos yang berada dikedudukan ketiga dengan 18 mata.

Kejayaan itu membolehkan SJ Virtuosos FC membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala iringan dan medal, manakala Sungai Merab FC membawa pulang RM5,000 beserta medal.

Malah, kemenangan ini memastikan  SJ Virtuosos FC layak ke Liga M4 musim hadapan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Presiden Perbadanan Putrajaya, Dato’ TPr Fadlun Mak Ujud, Presiden Persatuan Bolasepak Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim, Ketua Pegawai Operasi Amateur Football League (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, Ketua Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Jaflus Musa dan Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Putrajaya, Nik Fitra Wan Jaffar.